CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday 12 March 2010

LIGA SUPER: KELANTAN HORMATI SELANGOR


STATUS Selangor selaku pendahulu Liga Super ternyata mengundang resah buat Kelantan apabila kedua-dua pasukan itu bertembung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Tanpa berselindung, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengakui kehebatan lawannya sambil menganggap anak-anak buahnya tampil sebagai underdog.

"Pertemuan ini bukanlah tugas mudah buat semua pemain, berdasarkan rekod lepas, ia tampak memihak kepada mereka Selangor.

"Memandangkan Selangor berada di kemuncak prestasi dengan merangkul tiga kejuaraan musim lalu dan mendahului carta liga, saya menuntut supaya mereka turun bermati-matian dan berhati-hati dengan taktik serta corak permainan pasukan lawan yang mampu memerangkap pasukan," kata Sathianathan semalam.

Tambahnya, kemenangan pada perlawanan malam ini amat penting dalam usaha mereka merapatkan jurang mata dengan skuad Gergasi Merah itu.

Bagaimanapun, perancangan Sathianathan itu tampak sedikit terjejas apabila dia terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain utama ekoran kecederaan.

Antara pemain yang mengalami kecederaan ialah Nor Shahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussain, Halim Napi, S. Chanturu dan Mohd. Shakir Shaari.

Pada masa yang sama, Sathianathan berkata, Kelantan juga terpaksa melupakan khidmat Hairuddin Omar yang digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah ketika bertemu T-Team, Sabtu lalu.

Ditanya mengenai peluang Kelantan malam ini, Sathianathan berkata: "Saya masih yakin dengan peluang yang dimiliki. Kemenangan ke atas T-Team akan dijadikan pembakar semangat kepada pemain saya untuk menumbangkan Selangor."

Sathianathan turut berharap para peminat setia The Red War- riors membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada anak-anak buahnya.

"Peranan penyokong di belakang pemain juga penting membangkitkan semangat pemain untuk beraksi dengan cemerlang," ujarnya.
ditulis oleh kosmo

0 comments: