CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, 11 February 2010

AZRAAI AMBIL LIMA PEMAIN SKUAD B


DEMI mendapatkan barisan impian, jurulatih Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, menggugurkan lima pemainnya dan menyerap masuk jumlah yang sama daripada Harimau Muda B.

Sekalipun Azraai mengakui sukar membuat keputusan itu, lima pemainnya - Mohd Nazrin Baharudin, Muhamad Zulhariz Mohd Nor (pertahanan), Ahmad Aminuddin Shaharuddin, Yusaini Hafiz Chee Saad dan Mohd Shahrul Hafiz Mohd Shah (pemain tengah) terpaksa disisihkan daripada skuad bawah 21 tahun yang akan beraksi dalam Liga Slovakia bermula 27 Februari hingga 29 Mei ini.

Sebagai galang ganti, lima pemain Harimau Muda B bimbingan jurulatih Ong Kim Swee yang mendapat tempat dalam skuad Azraai Khor adalah Mohamad Fadhli Mohd Shas (pertahanan), Gary Steven Robbat, Mohd Fandi Othman (pemain tengah), A Tamil Arasu dan Wan Zack Haikal Wan Noor (penyerang).

"Saya hanya bawa 25 pemain ke Slovakia dan saya mahu pemain yang benar-benar bagus untuk mendapat pendedahan di sana. Ini adalah persiapan awal untuk menghadapi Sukan Sea 2011, jadi adalah penting untuk saya mendapatkan pemain terbaik," katanya, semalam.

Menurutnya, semua pemain yang berada dalam skuad mendapat penilaian sewajarnya dan tidak timbul sebarang isu pilih kasih atau sebagainya.

"Lima pemain Harimau Muda B itu sebenarnya adalah pemain asal Harimau Muda A yang mempunyai 30 pemain.

Tapi mereka saya lepaskan bermain bersama skuad Kim Swee kerana ketika itu kami tidak ada sebarang kejohanan kompetitif dan bagi saya, elok mereka berusia bawah 19 tahun itu bermain dengan Harimau Muda B.

"Lima pemain yang saya pilih ini memang layak di segi prestasi dan kebolehan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna lima pemain digugurkan itu akan terus diketepikan kerana mereka akan menyertai Harimau Muda B apabila kami berangkat ke Slovakia, Sabtu depan.

Peluang untuk bersama skuad negara masih terbuka bukan hanya kepada lima pemain yang digugurkan itu sebaliknya kepada pemain lain juga," katanya.

Menurut Azraai, semua pemain akan bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina, bermula hari ini dan menyambung latihan pusat, Selasa depan.

Skuad Harimau Muda A yang menjuarai Liga Perdana musim lalu akan mengharungi 14 perlawanan dalam tempoh lebih tiga bulan di Slovakia selepas penyertaan mereka dalam Liga Super musim ini ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala hasrat beraksi dalam Liga Singapura pula tidak kesampaian.
ditulis oleh harian metro

0 comments: